Thursday 12 October 2017

KELAS CITRA DI UKM

Hai kawan-kawan. Hari ini Uth cerita sedikit pasal kelas citra di UKM. Baiklah, apa itu citra? Citra ini boleh dikatakan minor subjek di mana seseorang yang punyai berbagai bakat, harus memilih sekurang kurangnya satu bakat yang paling dia percaya untuk menjadikan bakat itu adalah citra dirinya. Sebagai contoh, seseorang yang berbakat dalam sukan boleh bermain hoki, bola sepak dan larian 100m dan dari bakat itu dipilih bahawa yang paling rapat dengannya ialah larian 100m. Maka itulah citranya. Apa peranan citra untuk mahasiswa UKM? Peranan Pusat Citra ialah membantu pelajar kenal pasti apakah bakat yang akan dicitrakan dan seterusnya dengan bantuan Pusat Citra melalui latihan, modul dan aktiviti sepanjang pengajian maka bakat yang telah dicitrakan itu akan diperkasakan menjadi "Red Umbrella".

Baiklah sekarang saya akan menceritakan kelas citra yang telah saya daftar sepanjang semester satu ini. Kelas citra yang pertama saya daftar adalah Kelas Bahasa Cina. Aku ini pandai Bahasa Cina ke? Kenapa aku daftar subjek ini? Kelas citra boleh pilih apa sahaja subjek walaupun seseorang itu mahir atau pun tidak. Ya betul, saya memang tidak pandai berbahasa cina sebab itulah saya mendaftar subjek ini sebagai subjek citra saya. Saya ada segelintir kawan yang berbangsa cina, jadi seiap kali saya ingin berkomunikasi dengan mereka, saya perlu bercakap dalam bahasa melayu atau pun bahasa inggeris. Jadi apa salahnya saya mahu belajar bahasa cina. Keinginan saya sejak kecil lagi di mana saya mahu bercakap dalam pelbagai Bahasa seperti Jepun, Mandarin, Korea. Jadi kali ini saya ambil inisiatif untuk belajar bahasa cina dan dapat mahir untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Semasa kelas pertama, pensyarah tersebut mengajar kami tentang "Hanyu Pinyin" di mana ada 4 ton yang perlu kami belajar untuk berkomunikasi.

Selepas itu, kami mula belajar berkomunikasi sedikit demi sedikit. Walaupun agak susah pada permulaan, lama-kelamaan rasanya saya dapat memahirkan diri untuk berbahasa cina tetapi tidaklah sepenuhnya. Kawan-kawan saya yang berbangsa cina sangat bangga kerana saya mengambil inisiatif untuk belajar bahasa cina semata-mata dapat berkomunikasi dengan mereka. Baru-baru ini pensyarah telah mengajar kami bagaimana sebut nombor, hari, tarikh dan bulan dalam bahasa cina. Pada kelas yang seterusnya kami akan membentangkan tentang perayaan yang disambut oleh rakyat di negara China. Saya berharap sebelum tamat pengajian dapat mahir dalam berbahasa cina dengan sepenuhnya. Ribuan terima kasih juga kepada kawan-kawan saya yang berbangsa cina untuk membantu saya dalam subjek ini.

Belum habis lagi ye, saya ada daftar satu lagi kelas citra iaitu subjek Teater Bangsawan. Percaya atau tidak tetapi ini adalah benar. Apa aku boleh dapat dengan Teater Bangsawan ini? Ok, sejak sekolah menengah lagi saya memang minat dalam berteater. Hidup realiti ini pun terasa macam ramai orang "Berteater", lagi sekali apa salahnya kalau saya nak mengambil subjek ini. Semasa di sekolah menengah saya biasakan diri dalam teater moden sahaja. Jadi kali ini saya melibatkan diri dalam Teater Bangsawan di mana ada berkaitan dengan cerita-cerita raja. Kelas ini akan diadakan pada waktu malam, di mana boleh bersantai-santai sambil belajar.

Tugasan yang pertama yang saya dapat adalah untuk membuat ulasan tentang filem "Siti Muslihat", kepada yang belum menonton filem ini silakan layan di YouTube. Selepas itu, pensyarah beri kami tugasan yang lagi satu dimana saya dan ahli kumpulan saya perlu memilih salah adegan dan perlu berlakon depan pelajar-pelajar yang lain. Saya telah mendapat watak Raja. Selepas cuti pertengahan semester ini kami akan lakonkan adegan filem tersebut. Jadi doakan saya bahawa ahli kumpulan dapat buat yang terbaik nanti.

Inilah adalah subjek citra saya dimana saya ingin memahir lagi dalam dua subjek ini sepanjang pengajian. Saya perlulah cungkil bakat yang lain selain daripada fokus dalam akademik sahaja. Jadi apakah citra kamu, kawan-kawan?

Kita berjumpa lagi dalam entri yang seterusnya. Xiexie, Zaijian!

1 comment:

Sindrom 4K Di IPT

MAHASISWA universiti diancam sindrom 4K, iaitu Kuliah (kononnya hanya hadir mendengar syarahan, itupun tidak fokus), Kafeteria (hanya duduk...